Khamis, 11 Ogos 2011

Karangan- penyalahgunaan dadah

Karangan- penyalahgunaan dadah

Soalan:
Sebuah persatuan pencegahan dadah di sekolah anda telah menganjurkan kempen antidadah. Selaku pegawai polis di bahagian Narkotik, anda diminta menyampaikan ceramah yang bertajuk "Penyalahgunaan dadah dan keburukannya terhadap pembangunan negara." Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Jawapan:
(AF) Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Hj. Muhammad Hasif b. Abdul Ghalib, Pengetua SMK Seksyen 2, Bandar Bukit Mahkota, En. Abdul Haris Anuar, Penolong kanan Akademik, En. Loganathan, Penolong Kanan HEM, guru-guru serta pelajar yang saya hormati sekalian. (AF) Pada pagi yang mulia ini, saya ingin menyampaikan ceramah yang bertajuk "Penyalahgunaan dadah dan keburukannya terhadap pembangunan negara" sempena minggu antidadah yang telah diadakan baru-baru ini.

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,
(AR) Penyalahgunaan dadah ini telah menimbulkan pelbagai gejala sosial dalam kalangan masyarakat. (AR) Hal ini juga menjadi punca berlakunya kemunduran pembangunan negara dan juga keruntuhan akhlak dalam kalangan belia di seluruh pelosok negara. (AR) Dadah ini dikategorikan sebagai najis merupakan bahan kimia yang bukan sahaja mampu memudaratkan kesihatan fizikal, malahan kesihatan mental seseorang individu jika disalahgunakan tanpa preskripsi pakar perubatan.

Dadah sememangnya tidak menjadi asing lagi dalam kalangan anggota masyarakat sehingga masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia giat diperdebatkan oleh golongan cendekiawan dan pihak berkuasa kini. Namun begitu, tidak semua dadah berbahaya kepada kesihatan kita. Contohnya, aspirin yang berperanan untuk melegakan kesakitan yang dialami oleh para pesakit sering digunakan di pusat-pusat kesihatan dan hospital di seantero dunia kerana ubat ini tidak akan menjejaskan kesihatan serta tidak meninggalkan kesan terhadap kesihatan fizikal dan juga mental. Tegasnya, dalam hal ini, dadah penting sebagai ubat atau bahan untuk melegakan pesakit.

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,
Pada hakikatnya, kebanyakan dadah akan memudaratkan dan menyebabkan perkembangan mental kita terbantut serta menyebabkan seseorang bertindak secara tidak rasional seperti keganasan yang memuncak secara membuta tuli dan juga hilang pertimbangan. Contoh-contoh dadah yang saya nyatakan tadi termasuklah heroin, morfin, kokain dan sebagainya. Hal inilah yang menyebabkan pihak kerajaan mengharamkan individu menyalahgunakannya. Tegasnya, sesiapa yang didapati mengedar dadah jenis ini, mereka akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Seterusnya, sindiket penyeludupan dadah di negara kita semakin menjadi-jadi sehinggakan ramai orang terjerumus ke lembah dadah terutamanya golongan belia. Hal ini demikian kerana mereka kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mereka yang leka dibawa arus permodenan. Sebagai contoh, bilangan pusat serenti di negara kita sentiasa bertambah penghuninya dari semasa ke semasa. Selain penagih tegar, penagih baharu juga menampakkan pertambahannya.

Hadirin dan hadirat sekalian,
Fenomena yang menyedihkan ini akan menjejaskan pembangunan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana gejala ini akan menyebabkan negara kita akan mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja yang berkemahiran. Sebagai contoh, oleh sebab banyak golongan remaja yang terbabit dengan gejala penyalahgunaan dadah, banyak pekerja kilang didominasikan oleh pendatang asing. Secara keseluruhannya, sekiranya masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia masih tidak dititikberatkan, nescaya negara kita akan gagal menyahut cabaran bagi merealisasikan impian negara ke arah Wawasan 2020.

Akhir kata , golongan belia seharusnya membuat persiapan yang sepenuhnya serta menerapkan semangat kental ke dalam jiwa mereka kerana rakyat sejagat menaruh harapan tinggi terhadap mereka yang merupakan tonggak ke arah kecemerlangan negara dan melahirkan negara yang bertaraf metropolis. Ingatlah, "Negara Maju tanpa Dadah"

Sekian, terima kasih.